KWSP: Kerajaan jangan nafikan hak pencarum – Najib

0
4

KERAJAAN tidak boleh menafikan hak rakyat dalam wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terutama ketika dalam keadaan terdesak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ada negara yang telah meluluskan atau menggalakkan pengeluaran wang dari tabung usia tua untuk pencarum terdesak pada masa Covid-19 ini.

Ia termasuk Australia, Iceland, Peru, Chile Portugal, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, malah ada yang sudah meluluskan pengeluaran (simpanan) kali kedua.

“Namun kebanyakan negara-negara tersebut juga meletakkan syarat bahawa pencarum perlu mengemukakan bukti mereka hilang sumber pendapatan atau keadaan kewangan mereka sudah kritikal,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika alasan diberi pencarum tidak munasabah maka permohonan berkenaan wajar ditolak.

“Jika pengeluaran untuk bayar deposit bagi Proton X50 kerana kereta itu lawa atau nak beli iPhone 12, mereka boleh terus ‘bakulsampahkan’ permohonan berkenaan,” katanya.

Najib berkata, sebuah kerajaan yang prihatin perlu lebih fokus kepada mencari jalan memulihkan dan menambah simpanan usia tua golongan terdesak selepas krisis Covid-19 berakhir.

“Bukan untuk menafikan hak pencarum untuk mengakses wang simpanan mereka pada masa mereka paling terdesak.

“Sebuah kerajaan mempunyai kuasa dan pengaruh besar untuk memastikan tabung-tabung rakyat menjana keuntungan serta pulangan yang lebih tinggi pada hari kelak,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, namun adalah mustahil untuk memastikan semua pemohonan pengeluaran adalah di kalangan mereka yang benar-benar terdesak.

“Ada yang kata bagaimana pula jika ada pencarum yang tipu untuk keluarkan simpanan mereka walaupun bukan benar-benar terdesak.

“Ia seperti prinsip BR1M yang dulu pun pernah disalahberi kepada orang yang tidak layak. Untuk mendapat kepastian 100 peratus adalah tidak mungkin.

“Namun, ia lebih elok jika ada segelintir yang tersalah beri berbanding tersalah nafi bantuan kepada seorang yang amat memerlukan bantuan.

“Sebab itu, syarat pengeluaran tidak perlu terlalu ketat atau rumit jika skim pengeluaran ini diluluskan kerajaan PN,” katanya. -Malaysiapost