Lanjutkan hari mengundi kepada 3 hari – Wan Ahmad

0
3

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) dicadang supaya melanjutkan tempoh hari mengundi daripada sehari kepada tiga hari.

Perkara itu dicadangkan bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mahupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dapat dielak dalam masa terdekat.

“Kita boleh jarakkan hari mengundi. Tidak perlu buat sehari sahaja. Ini kerana dalam kalangan pengundi ada warga emas, golongan pertengahan dan orang muda.

“Apa salahnya kita buka hari pengundian selama tiga hari. Semua ini boleh diatur oleh SPR kerana nama mereka (pengundi) disenarai mengikut tarikh lahir,” katanya dalam program Sudut Pandang disiarkan Malaysiapost malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, SPR boleh mengeluarkan kad tertera hari mengundi yang dibenarkan untuk setiap golongan untuk memudahkan polis membuat pemeriksaan.

Selain itu, katanya, polis perlu membuat sekatan dan melarang sesiapa yang tidak berkenaan pada hari tersebut supaya tidak berada di pusat pengundian.

Tambahnya, tiada pindaan undang-undang perlu dibuat untuk melanjutkan hari pengundian kerana SPR mempunyai kuasa untuk menjarakkan tempoh itu.

“Saya berpengalaman semasa hari mengundi di Sabah selama dua hari. Hari pertama mengundi di kawasan pedalaman, hari kedua pula bagi kawasan-kawasan lain,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa selagi peratusan jangkitan Covid-19 masih tinggi, sangat tidak bersesuaian jika pilihan raya diadakan.

“Kita sudah lihat apa yang berlaku di Sabah, takkan kita nak ulang lagi. Kita kena ambil iktibar dan pentingkan nyawa rakyat.

“Kita kena pastikan semua kelemahan semasa PRN Sabah dalam aspek penularan Covid-19 diatasi dan patut perkasakan pematuhan SOP,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata Sarawak akan tetap meneruskan PRN ke-12 meskipun sedar negara kini berdepan pandemik Covid-19.

Katanya, mandat bagi kerajaan negeri itu akan berakhir pada Jun 2021 dan apabila mencapai tempoh matang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak secara automatik tetap akan bubar.

Justeru ujarnya, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.

Pada masa sama, cakap-cakap mengenai PRU15 akan diadakan dalam tempoh terdekat terus hangat berikutan ketidakstabilan situasi politik semasa.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember ini dan PRN Sarawak yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa, tidak dapat dielak kecuali darurat diisytiharkan. – Malaysiapost