Sheila Abdull sedih terpaksa ‘signing off’.

0
2

PENYANYI, Sheila Abdull yang juga seorang pramugari Malindo Air turut tersenarai dalam pengecilan kakitangan dan operasi syarikat penerbangan itu berikutan pandemik Covid-19

“Kalau ikut rasa hati, memang saya sedih. Tapi, jika diberhentikan ketika kontrak masih berjalan, lagilah sangat sedih kerana kita masih lagi komited nak bekerja,” katanya yang secara rasmi menamatkan kerjayanya sebagai anak kapal syarikat penerbangan itu.

Sheila, 32, atau nama sebenarnya Nursheila Abdullah berkata, dia sebenarnya terselamat daripada dua pemberhentian sebelum ini.

“Kalau diikutkan kontrak saya tamat pada 10 Oktober lalu.

“Namun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, saya sudah ambil cuti tanpa gaji kerana risaukan kesihatan anak, Chempaka.

“Saya seterusnya sambung cuti tanpa gaji kerana bimbang dengan pandemik Covid-19 dan akhirnya baru-baru ini, terima surat tamat kontrak,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Sheila berkata, situasi Covid-19 membuatkan syarikat terpaksa mengurangkan pekerja kerana kontrak tidak akan ditamatkan jika seseorang pekerja tidak bermasalah.

Penyanyi lagu Mungkinkah yang mendirikan rumah tangga dengan bekas anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir itu menganggap apa yang berlaku ada hikmahnya.

“Saya berasa gembira kerana dapat jaga anak sepenuh masa. Ketika bekerja, Chempaka yang kini berusia setahun tiga bulan tinggal berjauhan di Johor kerana dijaga oleh ibu saya.

“Nak hantar dia ke pusat penjagaan kanak-kanak pun susah dengan keadaan kerja saya. Sekarang saya dapat besarkan dia depan mata dan ia lagi seronok dan bernilai,” katanya.

Sheila mengakui pengalaman selama empat tahun sebagai anak kapal menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan.

“Saya dapat pergi sana sini dan jumpa macam-macam orang. Banyak benda baru saya dapat belajar. Ia juga amat berbeza dengan nyanyian.

“Buat masa ini, saya belum ada perancangan. Mungkin juga saya akan buat perniagaan yang fleksibel dan mana tahu juga akan kembali menyanyi.

“Saya rindu menyanyi,” katanya. – Malaysiapost