KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tujuh individu yang sepatutnya bertugas di Parlimen disahkan positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, individu terbabit termasuk seorang anggota polis bantuan dan isterinya.
Menurut beliau, selepas melakukan ujian saringan, didapati tiga lagi rakan sekerja polis bantuan itu turut dijangkiti Covid-19.
“Turut didapati positif adalah seorang pembantu Senator dan seorang petugas media.
“Kita juga telah melakukan saringan terhadap tujuh ahli keluarga petugas media namun keputusan masih belum diperoleh,” katanya ketika sidang media hari ini.
Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 12 kontak rapat kepada pembantu Senator tersebut telah dikenal pasti.
Katanya, semua kontak rapat kepada pembantu itu akan dikuarantin kerana mungkin berada dalam tempoh inkubasi.
Sementara itu, beliau berkata punca jangkitan terhadap kes tersebut masih belum dapat dikenal pasti.
“Ada tempoh enam minggu dari hari terakhir Dewan Negara bersidang pada September lalu sehingga mereka menjalani ujian saringan minggu lalu.
“Ini merupakan cabaran kepada KKM kerana hanya 30 hingga 40 peratus dapat dikesan positif daripada mereka yang bergejala,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu jangkitan Covid-19 juga berlaku kepada mereka yang tidak menunjukkan gejala.
“Jangkitan boleh berlaku dua hari sebelum simptom muncul dan tujuh hari selepas simptom,” katanya.
Terdahulu, media hari ini melaporkan Senator Dewan Negara, Ras Adiba Radzi mengesahkan pegawai khas yang juga adiknya disahkan positif Covid-19.
Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini ditamatkan lebih awal pada jam 1 tengah hari kerana kebimbangan penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

