Covid-19: 834 kes positif, 2 kematian hari ini

0
2

Nurul Huda Abhar

SEBANYAK 834 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dan Sabah masih negeri dengan kes baharu tertinggi iaitu 503 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif di Selangor pula mencatatkan 129 kes, Labuan (105), Kuala Lumpur (22) dan Pulau Pinang (21).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dukacita ingin memaklumkan hari ini terdapat dua kematian direkodkan.

“Ini menjadikan jumlah kes kematian adalah 251 kes. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang terlibat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga jam 12 tengah hari ini lima lagi kluster baharu dikenalpasti dan sukacita ingin dimaklumkan satu kluster ditamatkan iaitu Kluster Sungai.

Tambahnya, 900 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sembuh dan discaj ialah 23,120.

“Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini adalah 91 kes.

“Manakala kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan sebanyak 32 kes,” katanya. – Malaysiapost