Muhammad Mustakim Ramli
BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang ditahan malam tadi disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata Lokman juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Selain turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan.
“Siasatan telah dimulakan ke atas video yang dimuat naik pemilik Facebook Lokman Noor Adam kerana mempunyai unsur ugutan jenayah.
“Selain menggunakan perkataan jelik sifatnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri,” kataya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, permohanan reman ke atas Lokman telah dilakukan dan dibenarkan selama satu hari.
“Siasatan lanjut masih diteruskan. Polis menegaskan siasatan dijalankan adalah profesional dan adil tanpa menerima tekanan atau arahan mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Lokman ditahan ketika bersiaran langsung menerusi Facebook di sebuah restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) jam 11 malam tadi.
Beliau menerusi siaran langsung bertajuk ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul? itu turut memaklumkan didatangi pegawai polis sebelum menamatkannya.
Mengesahkan lagi penahanan itu, beliau turut membuat hantaran di Facebook meminta bantuan peguam. – Malaysiapost

