Speaker DUN Selangor tegur 5 Adun pembangkang pakai baju Melayu

0
2

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim menegur lima Adun pembangkang kerana tidak mematuhi peraturan apabila memakai baju kebangsaan pada permulaan sesi sidang DUN hari ini.

Lima Adun tersebut ialah Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong); Zakaria Hanafi (BN-Semenyih); Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang); Rizam Ismail (BN – Sungai Air Tawar) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS – Sijangkang).

Suee Lim ketika permulaan sesi persidangan menegur lima berkenaan dan menjelaskan Adun mesti berpakaian kemas ‘lounge suit’ semasa sesi dewan, manakala pemakaian baju kebangsaan (baju Melayu) dibenarkan pada Jumaat, lapor Berita Harian.

“Pagi ini, saya nampak dalam dewan yang mulia ini, Adun melanggar peraturan yang sudah saya tetapkan.

“Kelonggaran saya berikan pada hari Jumaat iaitu Adun boleh memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu). Perkara sama, saya tegaskan kepada Adun Templer (Pakatan Harapan) sebelum ini.

“Hari ini saya berikan teguran dan esok sila ikut peraturan ditetapkan supaya rakyat melihat kita sebagai pemimpin yang berdisiplin,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pembangkang mahu menjadikan pemakaian baju kebangsaan dalam dewan sebagai serangan terhadap kerajaan PH, mereka seharusnya berhenti dan menyerang menggunakan hujah serta isu.

Sementara itu, FMT melaporkan Mohd Shamsudin mempersoalkan mengapa tidak boleh memakai pakaian kebangsaan di dalam dewan dan bertanya adakah terdapat peraturan mengenai kod pakaian, terutama melarang mereka memakai pakaian tradisional.

“Saya rasa kami mematuhi peraturan. Juga, orang ramai akan gembira sekiranya kita memakai baju Melayu,” katanya.

Suee Lim mempertahankan pendiriannya, dengan menyatakan beliau diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai kod pakaian lelaki di bawah Perintah Tetap 87 (7).

Pada masa sama, katanya, beliau telah mengeluarkan surat jemputan kepada semua ahli persidangan, di mana kod pakaian untuk lelaki dan wanita dinyatakan dengan jelas.

Bagaimanapun Mohd Imran pula berkata surat jemputan itu tidak boleh dianggap sebagai sebahagian perintah tetap.

“Saya faham akan ada perubahan pada perintah tetap pada kod pakaian tetapi hingga hari ini tidak ada usul untuk itu.

“Selagi tidak ada peraturan untuk tidak boleh mengenakan baju Melayu, setiap orang berhak memakainya,” katanya. – Malaysiapost