KBS bangunkan MyBelia akses inisiatif, bantuan untuk belia

0
2

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang membangunkan sistem MyBelia bagi memudahkan belia akses kepada sebarang inisiatif dan bantuan yang tersedia untuk mereka.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata sistem itu akan menyediakan maklumat secara bersepadu berkaitan semua inisiatif disediakan kerajaan atau swasta yang boleh dimanfaatkan golongan belia.

Katanya, inisiatif yang tersedia menerusi sistem itu termasuk peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, latihan, kemahiran dan akses kepada dana serta kemudahan ditawarkan atau dilaksanakan pelbagai agensi kerajaan atau swasta.

“Saya wujudkan ‘single landing page’ (pemuka laman bersepadu) dan cuba menyepadukan semua (data di semua kementerian). Jika anda log masuk ke KBS, maka anda akan log masuk ke semua kementerian lain.

“Ini adalah proses yang renyah, maknanya bukan mudah kerana perlukan integrasi data, tetapi Insya-Allah awal tahun depan sistem ini dapat digunakan belia,” katanya dalam di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang mahu KBS menyatakan kaedah membantu golongan belia berniaga yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Reezal Merican berkata, KBS turut melaksanakan inisiatif kerjasama rentas kementerian, bertujuan membimbing dan memberi sokongan kepada golongan belia dalam aspek keusahawanan.

Katanya, antara yang kerjasama yang sudah digerakkan adalah dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, melalui program pencetus usahawan.

“Ia adalah program di bawah kerjasama strategik dilaksanakan dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang melatih 300 pegawai KBS untuk mengembangkan kapasiti dan kemampuan pegawai bagi membantu usahawan belia.

“Selain itu, program KBS dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dilakukan dengan kerjasama Akademi Pembangunan Belia Batu Gajah untuk memberi fokus kepada perniagaan rundingan yang memberi fokus bimbingan usahawan belia dalam mengembangkan perniagaan,” katanya. -Malaysiapost