KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan Orang Asli bekerja di sektor perladangan dan komoditi.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata KPPK akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menyedari kekurangan tenaga kerja di sektor
perladangan dan komoditi agak kritikal, dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.
“Kerajaan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak industri mengenai kekurangan tenaga kerja susulan pandemik Covid-19 yang kini berada pada gelombang ketiga.
“Pada masa sama, keselamatan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi.
“Oleh itu, KPPK berpandangan bahawa kemasukan pekerja asing yang masih tidak dibenarkan ke negara ini adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tambahan pula dalam keadaan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, adalah wajar penglibatan
pekerja asing dihadkan.
“KPPK akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut
Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC),” katanya.
Mohd Khairuddin berkata, pada masa sama, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini.
“Ia bagi menangani situasi kritikal di sektor sawit dan juga getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan.
“Kementerian dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus berusaha keras membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat
tempatan.
“KPPK turut berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi
pekerjaan tempatan untuk tampil serta membantu kementerian bagi menggalakkan rakyat tempatan bekerja di sektor tersebut.
“Ia penting agar usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan,” katanya. -Malaysiapost

