Angkara ‘FB live’, Lokman Adam ditahan

0
3

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis, malam tadi.

Difahamkan, beliau ditahan ketika sedang bersiaran langsung melalui Facebook di restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 malam.

Beliau yang bersiaran langsung di Facebook bertajuk ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul?’ didatangi pegawai polis dan serta-merta menamatkannya.

Mengesahkan lagi penahanan itu, beliau turut membuat hantaran di Facebook meminta bantuan peguam.

“Mohon hantar peguam ke JSJT Bukit Aman, jumpa IO Insp Nasir 013-7736 813. Saya ditahan di bawah Seksyen 506,” katanya.

Difahamkan, sejak beberapa hari lalu, beliau sering bersiaran langsung di Facebook berkenaan isu semasa yang boleh menimbulkan spekulasi termasuk berkaitan permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri.

Ia menerusi Facebook secara langsung kelmarin, Lokman mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penyokong masih tidak berpuas hati dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat.

Sehingga kini, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan berkenaan. – Malaysiapost