Nurul Huda Abhar
AHLI Parlimen bebas dari parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebulat suara bersetuju supaya kandungan Belanjawan 2021 diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan untuk memberi sokongan dibuat.
Pejuang menerusi kenyataan, merasakan memberi persetujuan tanpa terlebih dahulu meneliti isi kandungan Belanjawan tersebut adalah tidak bertanggungjawab.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka ingin memastikan Belanjawan berkenaan dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat dan menghidupkan semula ekonomi negara.
“Kami juga mempunyai pandangan dan idea bagaimana kita boleh membantu mengatasi bahagian-bahagian tertentu masalah ekonomi negara. Ini bukanlah bertujuan politik, tetapi hanya untuk menunai janji kami kepada rakyat.
“Kerajaan dan menteri-menteri sehingga kini tidak berfungsi seperti yang diperlukan oleh rakyat. Tumpuan hanya kepada kedudukan politik masing-masing,” katanya.
Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan menyambut baik saranan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk tidak meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil Batu Sapi.
Tambahnya, mereka faham keluh kesah rakyat yang sudah bosan dengan politik kepartian melebihi daripada kepentingan rakyat.
“Sebarang keputusan atau langkah di Parlimen perlu berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.
Turut disenarai nama Ahli Parlimen Pejuang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Shahruddin Md Salleh.
Namun, nama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik tidak tersenarai dalam kenyataan tersebut. – Malaysiapost
