PENEMUAN seorang bayi yang baru dilahirkan menggemparkan penduduk di Blok 47, Paya Terubong, Georgetown hari ini.
Bayi perempuan itu yang dimasukkan dalam sebuah beg diletakkan atas peti surat di aras bawah perumahan itu.
Penduduk menemui bayi yang berbalut dengan tuala putih itu kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.
Menurut laporan Kosmo!, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian itu disedari selepas salah seorang penghuni di situ ternampak satu objek bergerak dalam beg, dengan kepala terjongol keluar.
“Sebaik menghampiri beg itu, bayi berkenaan didapati dalam keadaan masih bernyawa dalam bungkusan plastik bersama satu lagi beg.
“Bayi yang masih bertali pusat itu berada dalam keadaan kesejukan dan badannya masih basah seperti baru dilahirkan.
“Penduduk kemudian memberinya susu dan memakaikan lampin pakai buang serta baju sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan ambulan,” katanya hari ini. – Malaysiapost

