Thaddius Unnip
[PRN Sabah] Parti Warisan Sabah (Warisan) mempersoalkan kewajaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalahkan kerajaan negeri berikutan prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah yang rendah pada 2018.
Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking menekankan Ahli Parlimen Pekan itu sepatutnya mengambil kira situasi ekonomi global yang kurang memberangsangkan pada 2018 memberi kesan kepada prestasi KDNK negeri.
“Bekas Perdana Menteri itu sepatutnya lebih tahu dan memahami struktur ekonomi Sabah dengan pertumbuhan KDNK yang rendah pada 2018 disebabkan faktor utama yang berikut:
“Pertama, harga komoditi global rendah disebabkan faktor luaran yang mana ia di luar kawalan kerajaan. Kedua, sebagai pengeluar komoditi, Sabah terkesan terutama pengeluaran minyak sawit disebabkan harga rendah sekali gus menjadikan pertumbuhan sektor pertanian pada 2018 negatif.
“Sektor kuari dan perlombongan yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negeri juga mencatat pertumbuhan -5.6 peratus pada 2018 disebabkan penurunan pengeluaran minyak dan gas oleh Petronas. Ia juga di luar kawalan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas Najib dalam hantaran di Facebook beliau semalam menyatakan Sabah mencatat pertumbuhan paling rendah 1.5 peratus pada 2018, berbanding lebih empat peratus ketika di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum itu.
Sebaliknya, Darell yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menyalahkan BN kerana membiarkan Sabah terus berdepan pelbagai masalah berkaitan infrastruktur walaupun mentadbir negeri itu selama 24 tahun.
“Hanya 52 peratus jalan raya di Sabah diturap pada 2018, sedangkan lebih 90 peratus jalan di Semenanjung berturap. Selepas sekian lama juga Sabah masih berdepan masalah bekalan elektrik tidak mencukupi di kawasan pantai timur.
“Ssitem pengangkutan awam tidak memuaskan, sekolah terbiar, sekolah tidak cukup, liputan pendidikan secara atas talian yang lemah dan perkhidmatan kesihatan luar bandar tidak memuaskan,” katanya.
Ahli Parlimen Penampang itu mendakwa, Sabah juga berdepan isu tenaga kerja kurang mahir berikutan hanya 17 peratus memiliki pendidikan tinggi, manakala rantaian aktiviti ekonomi masih bernilai rendah.
Katanya, walaupun Sabah adalah pegeluar minyak sawit dan koko terbesar negara, tiada industri oleokimia dan industri hiliran koko bernilai tambah tinggi dibangunkan di Sabah.
Rakyat Sabah juga, katanya berdepan kos sara hidup yang tinggi berbanding Semenanjung disebabkan pendapatan garis kemiskinan yang tinggi.
Sebaliknya, beliau berkata sepanjang 26 bulan berkuasa, kerajaan negeri pimpinan Warisan merekodkan beberapa pencapaian termasuk mencatat pelaburan tertinggi sebanyak RM12.4 bilion pada 2019 yang tidak pernah dicapai kerajaan terdahulu.
“Pelaburan dalam sektor pembuatan di Sabah juga merekodkan nilai tertinggi dengan RM6.5 bilion pada 2019 dan Sabah berada di kedudukan keempat tertinggi dalam kalangan semua negeri bagi menarik pelaburan ke sektor pembuatan pada tahun lalu.
“Pelancong juga meningkat 4.2 juta pada 2019 berbanding 3.68 juta pada 2017 di bawah kerajaan terdahulu,” katanya.
Darel turut menyenaraikan beberapa lagi pencapaian kerajaan pimpinan Warisan termasuk dalam usaha meningkatkan aktiviti hiliran minyak sawit, membantu menyelesaikan masalah sekolah usang dan meningkatkan kemudahan kesihatan.

