Apa yang PAS mahu? Muafakat atau Perikatan?, soal Salahuddin

0
2

Timbalan Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoalkan pendirian PAS dalam isu kerjasama politik parti itu.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, PAS perlu menyatakan dengan jelas pendirian mereka sama ada mahu menyokong Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

“Apa yang PAS mahu? Ia mahu Muafakat atau Perikatan? PAS perlu nyatakan pendirian mereka dengan jelas,” kata Salahuddin di Parlimen hari ini.

Salahuddin berkata demikian susulan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjangkakan MN boleh menang dengan majoriti mudah pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan syarat ianya pertandingan satu lawan satu dengan pembangkang.

Hadi seperti dilaporkan Utusan menjelaskan Bersatu mampu memenangi PRU15 sekiranya menyertai MN.

Hadi berkata, selagi ia dipersetujui semua parti dalam MN, pertandingan dua penjuru akan membolehkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dicapai, malah tidak mustahil juga majoriti dua pertiga 148 kerusi.

Hadi turut menegaskan rundingan kerusi perlu diserahkan kepada pimpinan PAS dan UMNO tanpa campur tangan akar umbi, yang mempunyai pandangan mereka sendiri berhubung perkara itu.

Sementara itu, mengulas lanjut, Salahuddin menjangkakan banyak kerusi akan berlaku pertandingan lebih dari satu lawan satu. 

“Itu tanggungjawab mereka tetapi nampaknya akan berlaku pertandingan banyak penjuru di mana-mana,” katanya.