Belanjawan 2021: Pemimpin PN jumpa PM di KL, PH di Putrajaya

0
2

Nurul Huda Abhar

SATU pertemuan antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur hari ini.

Pertemuan tersebut melibatkan semua ketua parti gabungan kerajaan PN termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dikatakan pertemuan tersebut adalah persiapan bagi pembentangan Belanjawan 2021 yang akan berlangsung pada 6 November dan juga persediaan persidangan Parlimen yang bermula esok.

Selain itu, turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran.

Mulai esok, sidang Dewan Rakyat bermula dan bakal menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Semua usul akan dibahaskan dalam kalangan 221 Ahli Parlimen sebelum ianya akan diluluskan atau ditolak.

Pada perkembangan berkaitan, pemimpin dari parti pembangkang juga turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Pertemuan di Kementerian Kewangan, Putrajaya itu dikatakan bagi membincangkan mengenai Belanjawan 2021.

Menurut sumber, terdapat enam cadangan yang akan dikemukakan oleh PKR bagi pembentangan Belanjawan 2021 kali ini.

Difahamkan wakil daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hadir termasuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution. – Malaysiapost