Darurat bukan jalan terbaik tangguh pilihan raya – Tok Mat

0
1

Fitri Nizam

PENGISYTIHARAN darurat bukan jalan terbaik menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi sebaliknya parti politik boleh memberikan laluan kepada parti Warisan menang tanpa dicabar.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Barisan Nasional (BN) sudah mengumumkan bahawa tidak akan bertanding di Batu Sapi dan beliau menggesa parti politik lain mengambil pendekatan sama.

“Ini sebagai menghormati mendiang Datuk V K Liew, bekas Ahli Parlimen Batu Sapi dan mengelakkan pilihanraya kecil diadakan waktu ini.

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak Covid-19 kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pula, Mohamad berkata, tempoh matang DUN Sarawak ialah 7 Jun 2021.

Katanya, jika kerajaan negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari daripada 7 Jun sekali gus membolehkan PRN diadakan dalam bulan Ogos 2021.

“Saya sangat meyakini kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin yang mengatakan bahawa PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak dapat ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembangaan Persekutuan.

Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun.

“Justeru, semua pihak mesti menghormati kearifan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” katanya. -Malaysiapost