Masa saya PM, kadar dividen KWSP antara tertinggi – Najib

0
2
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media selepas menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Ke-21 Malaysia-Brunei di Istana Nurul Iman hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

DATUK Seri Najib Razak mendakwa beliau banyak merancang untuk memberi lebih peluang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjana lebih pendapatan untuk pencarum ketika menjadi Perdana Menteri.

Najib berkata, komen penyokong Pakatan Harapan Plus yang mendakwa beliau tidak melakukan apa-apa untuk KWSP semasa menjadi Perdana Menteri di Facebooknya semalam, adalah tidak adil.

“Masa saya PM, kadar dividen KWSP adalah antara tertinggi sejak 20 tahun lalu.

“Jumlah aset KWSP juga naik berganda dari RM340 bilion pada ahir tahun 2008 ke lebih RM840 bilion pada akhir tahun 2017 dalam tempoh saya PM,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mengulangi pendiriannya untuk meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran ‘One Off’ RM10,000 Akaun 1 KWSP untuk pencarum terdesak.

“Apa salahnya wang yang dijana dan disimpan dalam tempoh tersebut dibenarkan untuk pencarum keluar dalam masa terdesak krisis sekarang,” katanya.

Semalam, kerajaan membayangkan sukar untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

Muhyiddin berkata, jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, pencarum akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan. -Malaysiapost