Susunan soalan Dewan Rakyat agak kontroversi – Kit Siang

0
1

Mengapa soalan saya berhubung Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang melanggar kuarantin diletakkan di tempat ke-38 dalam sesi Dewan Rakyat, soal veteran DAP, Lim Kit Siang.

Meluahkan kekecewaannya, beliau mempersoalkan kenapa kekeliruan dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap menteri itu tidak menjadi keutamaan.

Katanya, beliau berpendapat bahawa persoalan mengenai penguatkuasaan undang-undang prosedur operasi standard (SOP) secara tidak teratur adalah perkara berkepentingan tinggi.

“Pastinya akan ada banyak pertanyaan tambahan oleh Ahli-ahli Parlimen yang tidak berpuas hati daripada kedua-dua belah pihak di Dewan Rakyat yang sedang menunggu untuk menanyakan berkenaan isu ini.

“Perkara ini akan menentukan tahap kepercayaan dan sokongan masyarakat terhadap pemikiran serta pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” yang dilancarkan oleh kerajaan dalam perang melawan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penyusunan soalan di Parlimen perlu bergantung kepada kepentingan awam dan bukannya tertakluk sama ada menteri yang menjawabnya suka atau pun tidak kepada soalan berkenaan.

“Semestinya, Kabinet (Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tidak mahu perkara mengenai kegagalan penguatkuasaan SOP kuarantin Covid-19 menteri ini dibangkitkan.

“Tetapi sebarang campur tangan Kabinet dalam perkara ini melanggari doktrin pemisahan kuasa di antara pihak Eksekutif, Badan Perundangan dan Kehakiman,” katanya.

Justeru, beliau berkata, harus ada garis panduan yang jelas dan berpatutan untuk menentukan kedudukan soalan Parlimen untuk waktu pertanyaan yang boleh diteliti oleh semua pihak serta diputuskan oleh Jawatankuasa Dewan atau mana-mana Jawankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Ini adalah salah satu bidang reformasi Parlimen yang perlu diberi perhatian. Penyusunan aturan urusan mesyuarat untuk persidangan Parlimen yang bermula pada esok agak berkontroversi,” katanya. -Malaysiapost