Fitri Nizam
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan ‘desperado’ apabila terus mengungkit mengenai darurat, kata wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.
Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya memberi keutamaan dengan memastikan Belanjawan 2021 dirangka, dibentang dan diluluskan di Parlimen.
“Cukuplah! Yang di-Pertuan Agong sudah tolak. Lagi pun, kalau kita tengok reaksi di media sosial, majoriti tidak setuju darurat diisytiharkan.
“Kita boleh baca media arus perdana (MAP). Tapi kita kena berhati-hati tentang kemungkinan MAP kembali dikawal oleh kerajaan,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi memang tidak dapat dielakkan daripada diadakan ketika wabak Covid-19 masih di tahap serius di Sabah.
Bagaimanapun, katanya, risikonya tidak sebesar Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.
“Tapi PRN Sarawak tidak perlu diadakan segera melainkan kerajaan negeri Sarawak ada sebab tertentu MAHU menyegerakannya.
“Ini adalah kerana tempoh laku Dewan Undang Negeri (DUN) Sarawak masih agak panjang iaitu sembilan bulan lagi. PRN Sarawak boleh diadakan sebelum atau pada 7 Ogos 2021,” katanya.
Semalam, Muhyiddin berkata, PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak dapat ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembangaan Persekutuan.
Perdana Menteri berkata, dengan pengisytiharan darurat, kedua-dua pilihan raya itu dapat ditangguh sehingga pandemik Covid-19 berakhir. – Malaysiapost
