PENGURUSAN tertinggi Universiti Malaya (UM) mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar prinsip menjunjung dan menghormati institusi beraja.
Justeru, UM memandang serius mengenai satu hantaran di laman Facebook yang dimuat naik sebuah badan pelajar berdaftar iaitu Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY).
Hantaran yang dimaksudkan bertajuk ‘Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara’.
Pejabat Komunikasi Korporat UM, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa UM menjunjung dan menghormati institusi beraja.
“Oleh yang demikian, Pengurusan Tertinggi UM mengutuk sebarang kenyataan yang melanggar atau bertentangan dengan prinsip tersebut.
“Sehubungan itu, UM akan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini dengan segera,” katanya.
Bagaimanapun, Malaysiapost difahamkan, UMANY telah memadam hantaran itu di Facebook malah akaun laman sosialnya turut gagal dikesan. -Malaysiapost

