KESUSAHAN rakyat bergelut dalam impak ekonomi akibat pandemik Covid-19 adalah fokus utama dan bukan persoalan menyandang jawatan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, bisik-bisik politik berkaitan namanya disebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang perlu diambil pusing.
“Agenda utama kita adalah mencari jalan penyelesaian yang perlu dibangunkan dalam kadar segera bagi membantu meringankan beban rakyat sewaktu tempoh sukar ini.
“Sebagai ‘interested party’ saya tidak boleh mengulas lanjut hal tersebut apatah lagi ia berkaitan dengan desas-desus nama sendiri,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, perbincangan dalam Mesyuarat Khas Ahli-ahli Majlis Tertinggi baru-baru ini turut memfokuskan isu penyelesaian impak pandemik Covid-19.
“Tumpuan kita lebih ke arah itu dan bukannya soal jawatan jadi keutamaan,” katanya.
Sebelum ini, timbul ura-ura mengaitkan Ismail Sabri sebagai individu paling tepat dan memenuhi kriteria diperlukan untuk dilantik jawatan nombor dua dalam Kabinet.
Selain Ismail, nama-nama lain yang menjadi sebutan ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan. – Malaysiapost

