Belanjawan 2021: Persefahaman dengan semua Ahli Parlimen boleh dirangka

0
2

SATU bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan semua Ahli Parlimen untuk membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap semua Ahli Parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara. 

“Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain,” katanya dalam perutusan situasi semasa Covid-19 hari ini. 

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November ini. 

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang dihadapi pada masa ini. 

“Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya. 

Perdana Menteri berkata dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelak kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat. 

Katanya, beliau tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19, selain banyak perniagaan terpaksa ditutup. 

“Lebih 800,000 orang kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian. 

“Oleh itu, kerajaan akan membentangkan Bajet 2021 di Dewan Rakyat pada 6 November nanti yang akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. 

“Insya-Allah, dalam Bajet yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban ditanggung oleh saudara dan saudari sekalian dalam menghadapi zaman sukar ini,” katanya. – Malaysiapost