Hanya darurat mampu tangguhkan pilihan raya – PM

0
1
soya cincau

Fitri Nizam 

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dapat ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembangaan Persekutuan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Perdana Menteri berkata, dengan pengisytiharan darurat, kedua-dua pilihan raya itu dapat ditangguh sehingga pandemik Covid-19 berakhir. 

Muhyiddin berkata, dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu bahawa petugas pilihan raya bimbang dijangkiti Covid-19. 

“Ketua Pengarah Kesihatan juga melaporkan jika PRN Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang keadaan di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan lengkap akan mampu menampung peningkatan kes positif Covid-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak. 

“Keupayaan frontliners dan logistik kesihatan juga menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini. 

Beliau berkata, jika pilihan raya terpaksa diadakan, kerajaan Persekutuan mahu pun negeri tidak boleh menghalang pengundi untuk keluar mengundi kerana itu hak mereka di bawah Perlembangaan. 

Bagaimanapun, beliau berkata, pilihan raya adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka ia terpaksa diadakan kecuali darurat diisytiharkan. 

“Jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga 

Covid-19 berakhir. 

“Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk Batu Sapi dan Sarawak berhati-hatilah, jagalah diri saudara dan saudari semua. Patuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan,” katanya. 

PRK Batu Sapi dijadualkan berlangsung pada 5 Disember manakala PRN Sarawak berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa. 

Menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen. 

Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri. 

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini. 

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara. – Malaysiapost