Covid-19: Ronaldo pulih, tak perlu kuarantin

0
2

BINTANG Juventus, Cristiano Ronaldo disahkan negatif Covid-19 selepas 19 hari namun Serie A hadapi ancaman baharu.

Antara kelab yang kini bergelut dengan wabak itu adalah Atalanta, Sassuolo, Crotone dan Parma.

Ronaldo kali pertama diuji positif virus berkenaan pada 13 Oktober ketika bermain untuk Portugal.

“Ronaldo menjalani ujian calitan Covid-19 dan keputusannya negatif. Jadi pemain itu sudah pulih selepas 19 hari dan tidak perlu dikuarantin,” kata Juventus seperti dilaporkan AFP.

Juventus akan bertemu Spezia esok, dengan semua perlawanan Serie A diadakan secara tertutup.

Di Bergamo, sidang media pra-perlawanan pengendali Atalanta Gian Piero Gasperini terpaksa dibatalkan selepas terdapat kes positif dalam kalangan jurulatih pasukan.

Crotone turut mengesahkan pemain tengah mereka Salvatore Molina menunjukkan gejala dan menjalani kuarantin kendiri.

Sassuolo, yang bertandang ke Napoli, mempunyai tiga kes baharu termasuk seorang pemain, manakala Parma yang bertemu Inter Milan, mendedahkan dua pemainnya dijangkiti kali kedua.

Lazio masih menanti keputusan ujian selepas pemain-pemainnya termasuk penyerang bintang Ciro Immobile dan Luis Alberto direhatkan daripada aksi Liga Juara-Juara di Club Brugge sebagai langkah berjaga-jaga.

Sidang media pengendalinya Simone Inzaghi menjelang pertemuan dengan Torino juga terpaksa dibatalkan selepas separuh daripada skuad dilapor menjalani kuarantin.

Serie A kini dalam usaha meminta UEFA melonggarkan peraturan sedia ada yang membenarkan perlawanan dilangsungkan selagi pasukan mempunyai 13 pemain sihat termasuk penjaga gol.

Ini bermakna hanya jika terdapat 10 kes atau lebih dalam sesebuah pasukan seminggu baru mereka akan mendapat pengecualian, itu pun hanya untuk satu penangguhan dalam semusim. – Malaysiapost