AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam berkongsi pandangan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentang, 6 November ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Syed Saddiq berkata ia sekali gus menafikan dakwaan kerajaan dan pembangkang tidak boleh duduk semeja untuk kepentingan negara.
Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata beliau mencuba nasib menghantat mesej kepada Kewangan untuk mengadakan sesi dialog bagi berkongsi pandangan berkenaan belanjawan 2021.
“Tidak sampai 30 minit selepas mesej, terus dapat appointment (temujanji).
“Sampai pukul 9.15 malam duduk bincang. Beliau masih di pejabat dan dengan penuh perhatian mendengar semua perkara yang saya kemukakan,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul dalam hantaran berasingan mengucapkan terima kasih kepada Syed Saddiq kerana meluangkan masa berbincang mengenai Belanjawan 2021.
“YB Syed Saddiq telah membentangkan beberapa idea dari sudut belia, termasuk penciptaan pekerjaan dan sokongan untuk akses kepada pendidikan. ⠀
⠀
Sesi ini adalah sebahagian usaha Kementerian Kewangan dalam merangka Belanjawan 2021 yang berfokuskan kesejahteraan Rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

