Tak lompat parti kriteria utama calon Warisan, PH Sabah

0
3

Thaddius Unnip

[PRN Sabah]
Tidak melompat! Itu kriteria utama calon yang akan disenaraikan gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Ada muka baharu dan berpendidikan tapi yang utama ialah tidak mahu melompat. Tidak guna letak doktor, peguam tapi akhirnya melompat,” kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) menekankan demikian selepas perjumpaan dengan ketua-ketua parti di Sabah hari ini.

Perjumpan itu turut dihadiri Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau; Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew serta kepemimpinan DAP dan Amanah.

Mohd Shafie gabungan kesemua parti itu akan memuktamadkan soal agihan kerusi dan calon, minggu depan.

“Ini satu pertemuan untuk buat persediaan menghadapi PRN. Kita menyatakan pendirian kita, semua parti, kita bersatu berdepan dengan parti lawan.

“Beberapa perkara kita perincikan dan akan atasi dalam masa terdekat. Yang pertama pembahagian kerusi dan kedua soal calon.

“Ini penting bagi kita memuktamadkan dalam masa terdekat tapi saya yakin semua sudah sedia dan minggu depan selesai,” katanya.

Mohd Shafie berkata beliau akan memaklumkan senarai calon dan kerusi ditandingi apabila proses pengagihan kerusi dan penentuan calon selesai.

Beliau turut menjelaskan Parti Amanah yang tidak diberi kerusi bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu akan diberi laluan untuk bertanding kali ini berdasarkan kekuatan parti itu.

Pada sidang media itu, Mohd Shafie turut menjelaskan rasional beliau memohon Yang Di-pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Katanya, tindakan itu adalah yang terbaik bagi mengatasi tekanan dari Kuala Lumpur dan kemelut politik yang menjejaskan kestabilan negeri dan ekonomi.