Pelakon antarabangsa Bollywood, Amitabh Bachchan berkongsi berita gembira kepada peminatnya bahawa beliau sudah dibenarkan keluar hospital setelah disahkan negatif Covid-19.
Menerusi perkongsian di Twitternya, beliau menceritakan menerima penjagaan rapi oleh petugas kesihatan di hospital sehingga disahkan pulih sepenuhnya.
“Saya disahkan negatif dan sudah dibenarkan discaj. Saya kini berada di rumah untuk proses kuarantian di rumah.
“Syukur kepada tuhan. Doa daripada insan terdekat, rakan, dan peminat. Juga penjagaan rapi oleh Hospital Nanavati
yang membolehkan saya pulih seperti hari ini,” tulisnya pada ciapan tersebut.
Pelakon filem Kabhi Khushi Kabhie Gham tersebut disahkan positif Covid-19 bulan lalu dan dikuarantin selama tiga minggu bagi menerima rawatan lanjut.
Amitabh dan anak lelakinya, Abhishek Bachchan disahkan positif dan sehari kemudian menantu dan cucunya, Aishwarya Rai dan Aradhya juga disahkan dijangkiti virus itu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dibenarkan keluar lebih awal berbanding Amitabh.

