‘Pandangan saya berkaitan Perancis diberi gambaran salah’

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata pandangannya berkaitan keadaan di Perancis diberi gambaran salah dengan tujuan menunjukkan beliau menggalakkan keganasan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perenggan ke-12 kenyataannya dibaca di luar konteks keseluruhan kenyataan berkenaan.

“Mereka yang berbuat demikian hanya membangkitkan sebahagian daripada perenggan tersebut iaitu ‘Muslim ada hak untuk marah dan membunuh berjuta rakyat Perancis atas penyembelihan di masa lalu.

“Mereka berhenti di situ dan membayangkan saya mempromosikan pembunuhan orang Perancis.

“Jika mereka membaca kenyataan itu secara keseluruhan, terutama ayat seterusnya iaitu ‘Tetapi secara keseluruhan Muslim tidak mengguna pakai aturan hukuman darah dibalas darah.

“Muslim tidak berbuat demikian. Orang Perancis (juga) tidak harus buat demikian. Perancis patut mengajar rakyatnya untuk menghormati perasaan orang lain’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dr Mahathir membidas Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan menyifatkan beliau sebagai seorang sosok yang tidak bertamadun.

Kata Dr Mahathir, Macron bersikap primitif kerana menuduh orang Islam terlibat dalam pembunuhan guru yang menghina Islam, malah beliau turut menegaskan tindakan membunuh bukan ajaran Islam.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, sejarah juga membuktikan bahawa orang Perancis pernah membunuh jutaan manusia, ramai mangsanya terdiri daripada orang Islam.

“Orang Islam berhak untuk marah dan bunuh orang Perancis bagi membalas pembunuhan mereka pada masa lampau, tetapi orang Islam tidak pernah mengamalkan peraturan sedemikian,” katanya menerusi catatan di blognya. – Malaysiapost