Muhammad Mustakim Ramli
JUMLAH kes sembuh akibat pandemik Covid-19 kini melebihi 20,000 apabila 491 kes sembuh direkodkan hari dengan jumlah keseluruhan kini sebanyak 20,248 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah 20,248 kes sembuh itu adalah 65.55 peratus kadar kesembuhan daripada keseluruhan kes.
“Sabah mencatatkan jumlah kes sembuh tertinggi hari ini iaitu 277 diikuti Selangor (135); Negeri Sembilan (25); Perak (21); Pulau Pinang (12); Sarawak (5); Johor (4); Terengganu (3) dan Pahang, Melaka, Kuala Lumpur dan Kelantan (2),” katanya dalam sidang media harian, hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 799 kes positif direkodkan hari ini, semuanya penularan tempatan.
“Sebanyak 466 kes dikesan di Sabah, diikuti Selangor (150); Labuan (65); Pulau Pinang (35); Negeri Sembilan (23); Kuala Lumpur (19); Sarawak (16); Perak (10); Johor (9); Kedah (5) dan Putrajaya (1).
“Selain itu, hari ini tiga kematian dicatatkan iaitu semuanya di Sabah, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 adalah 249 kes,” katanya.
Beliau juga memaklumkan setakat 12 tengah hari tadi, 10,392 kes masih aktif, di mana 90 kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi termasuk 20 menerima bantuan penafasan. – Malaysiapost

