Ahli Parlimen jalani saringan Covid-19

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman antara Ahli Parlimen yang mula menjalani sesi ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di tempat letak kereta blok utama Parlimen, hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu memaklumkan beliau sudah bersedia untuk ke Dewan Rakyat menjelang Belanjawan 2021.

“Saya sudah bersedia untuk menyokong Belanjawan 2021 untuk rakyat,” katanya.

Perkara sama dikongsi Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang memaparkan beliau di dalam kereta sedang menjalani ujian saringan.

“Ujian Covid pagi ni di Parlimen. Pastikan semua selamat,” katanya.

Parlimen Malaysia menetapkan sesi ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu buat 222 Ahli Parlimen pada 30 Oktober bagi membolehkan persidangan Dewan Rakyat bermula 2 November.

Ujian itu dilakukan di tempat letak kereta blok utama Parlimen bermula 9 pagi hingga 5 petang, menurut surat ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Bacha Mydin.

Menurut surat itu lagi, ujian saringan Covid-19 wajib ke atas semua Ahli Parlimen dan mana-mana pihak yang gagal melaksana ujian atau didapati positif, tidak dibenarkan menghadiri persidangan.

Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 27 hari, mulai 2 November hingga 15 Disember depan. – Malaysiapost