BEKAS Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dilantik Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang baharu berkuat kuasa 1 November ini hingga 31 Oktober 2023.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan pelantikan dibuat selepas Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti
Awam bersidang dan membuat penilaian terhadap calon-calon pada 5 Oktober lalu.
Beliau akan menggantikan Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim yang tamat kontrak pada 31 Oktober 2020.
Dr. Mohd Hamdi, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari Imperial College, London; Master of Science in Advanced Manufacturing Technology & System Management dari University of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom.
Beliau juga memegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doctor of Engineering on Thin Film Coating for Biomedical Applications dari Kyoto University, Jepun.
Beliau telah berkhidmat sebagai Naib Canselor UKM selama hampir dua tahun selain memegang jawatan pentadbiran dan akademik lain seperti Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), UM.
“Kementerian percaya dengan pelantikan ini, beliau dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan dalam
mengekalkan pencapaian dan kegemilangan UM sebagai universiti penyelidikan terkemuka di negara ini.
“Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih
kepada Dr Abdul Rahim atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau selama ini sehingga UM dinobatkan antara universiti terbaik dunia,” kata KPT. – Malaysiapost

