Cadangan pembangunan KXP belum dimuktamadkan – Ka Siong

0
1

CADANGAN Projek Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah masih tertakluk kepada pertimbangan pelbagai agensi serta Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia tertakluk kepada permohonan mendapatkan pertimbangan daripada kementeriannya dan agensi lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta agensi berkaitan lain.

Katanya, cadangan pembinaan KXP juga tertakluk Kajian NASP yang akan dimulakan pada awal 2021 bagi semua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan membina lapangan terbang baharu.

“Maka, penggerak projek KXP kelak akan diminta untuk memberi maklumat kepada pasukan perunding NASP berhubung unjuran yang realistik dan tepat khususnya permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan KXP, lebih-lebih lagi dalam era pasca Covid-19.

“Asas cadangan pembinaan KXP yang digunakan penggerak projek adalah bagi menyokong pengendalian penumpang dan kargo yang disediakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Cadangan pembinaan lapangan terbang itu diluluskan secara prinsip oleh kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 27 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata pembinaan KXP wajar dipertimbangkan setelah kapasiti pengendalian LTAPP mencecah kapasiti maksima.

“Dalam hubungan ini, unjuran permintaan penumpang dan kargo mestilah bersandarkan kepada asas dan data yang kukuh serta tepat mengambilkira pembangunan kapasiti maksima LTAPP demi memastikan kebolehsanaan projek.

“Kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan KXP hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP telah disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi kerajaan yang lain.

“Ini sepertimana dinyatakan dalam laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan sebagainya,” katanya.

Ka Siong berkata kementerian mengalu-alukan sebarang cadangan mana-mana pihak sama ada kerajaan negeri atau syarikat swasta untuk membina lapangan terbang.

Akan tetapi, tegasnya, setiap cadangan pembinaan lapangan terbang perlu benar-benar bersesuaian, lestari dan memenuhi keperluan teknikal yang ditetapkan oleh CAAM dan MAVCOM.

Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata pembinaan projek KXP telah diluluskan secara rasmi semasa mesyuarat MPFN dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Kementerian Pengangkutan telah berjanji untuk mempercepatkan kajian NASP berhubung projek itu.

Dalam reaksi balasnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata beliau percaya sebagaimana projek Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR) yang sedang dirancang, KXP juga perlu mematuhi keseluruhan senarai nasihat atau pandangan dicadangkan semasa mesyuarat MPFN. – Malaysiapost