Bekas pemain bola sepak skuad Olimpik Munich 1972, V Krishnasamy meninggal dunia, malam tadi.
Mendiang berusia 72 tahun sebelum ini dilaporkan mengidap penyakit kencing manis menghembuskan nafas di Pulau Pinang.
Ketika aktif sebagai pemain, mendiang digelar ‘Ironman’ atas penampilannya selaku pemain tengah yang agresif.
Beliau pernah menyarung jersi pasukan Perak, Pulau Pinang dan Penjara sepanjang karier domestiknya sebelum bersara sebagai Sarjan Mejar Penjara.
Krishnasamy antara pemain yang membentuk teras kepada barisan negara sepanjang tempoh 1970 hingga 1974 di mana Malaysia mengutip pingat perak Sukan SEAP 1971, layak ke Olimpik 1972 dan meraih gangsa di Sukan Asia Teheran.
Krishnasamy adalah antara 19 pemain yang dibawa ke Munich oleh pengurus pasukan, Dato’ Harun Idris dan jurulatih Jalil Che Din.
Malaysia tewas 3-0 kepada Jerman Barat dan 6-0 di tangan Maghribi dan mencatat satu-satunya kemenangan ke atas Amerika Syarikat 3-0.
Mendiang juga anggota kesebelasan yang tewas 2-1 kepada Burma pada final Sukan SEAP di Stadium Merdeka pada Disember 1971.

