Rakyat Sabah akan hukum, tolak 13 Adun berpaling tadah – Tun M

0
2

Tindakan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sabah yang berpaling tadah menyokong pembangkang di negeri itu adalah contoh rasuah sangat buruk, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata rakyat Sabah akan menghukum mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana mereka tidak boleh dipercayai.

“Apa yang berlaku di Sabah adalah contoh rasuah yang sangat buruk. Saya dapati 13 Adun yang keluar dari parti kerajaan negeri ditawarkan wang. Mereka disogok. Ini sesuatu yang ingin kita hapuskan.

“Mereka akan ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah kerana mereka tidak boleh dipercayai. Mereka ini hanya ikut duit, bukan ada prinsip.

“Apabila mereka mendapat duit, mereka melompat,” katanya dalam rancangan bual bicara dalam talian dianjurkan kumpulan usahawan MyPerintis.

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, amalan mengambil rasuah yang dulu sering terjadi dalam pemerintahan lalu, kini kembali berlaku di Sabah.

Dr Mahathir berkata wakil rakyat boleh meninggalkan parti atas isu-isu prinsip, tetapi bukan kerana ditawarkan habuan.

“Apa yang menyedihkan orang yang sebelum ini memerangi rasuah adalah orang yang kini terlibat secara langsung dalam memberi rasuah,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengesahkan akan terbang ke Sabah menjelang PRN tidak lama lagi.

Krisis politik Sabah mencapai kemuncak apabila bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman, mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Susulan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mendapat perakuan daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Khamis lalu.