Tun M bidas Macron, orang Islam berhak marah

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron tidak menggambarkan sebagai seorang sosok yang bertamadun.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa Macron bersikap primitif kerana menuduh orang Islam terlibat dalam pembunuhan guru yang menghina Islam, malah menegaskan tindakan membunuh bukan ajaran Islam.

“Tetapi orang yang marah boleh membunuh,” katanya  menerusi catatan beliau di laman blognya www.chedet.cc.

Dr Mahathir berkata sejarah membuktikan bahawa orang Perancis pernah membunuh jutaan manusia, yang ramai mangsanya terdiri daripada orang Islam.

“Orang Islam berhak untuk marah dan bunuh orang Perancis bagi membalas pembunuhan mereka pada masa lampau, tetapi orang Islam tidak pernah mengamalkan peraturan sedemikian,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata Perancis harus mendidik rakyatnya menghormati perasaan orang lain.

Media sebelum ini melaporkan guru sekolah di Perancis, Samuel Paty dibunuh kejam apabila kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki Rusia berketurunan Chechen pada 16 Oktober lalu.

Guru tersebut sebelum itu menunjukkan karikatur didakwa Nabi Muhammad SAW yang menyebabkan 12 orang dibunuh dalam serangan di pejabat Charlie Hebdo pada 2015.

Macron bagaimanapun mempertahankan tindakan guru berkenaan, sehingga menyebabkan protes besar-besaran di kebanyakan negara Islam. – Malaysiapost