Sohaimi Shahadan pangku jawatan Presiden DPIA

0
2

DEWAN Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden 1, Datuk Sohaimi Shahadan sebagai pemangku Presiden berkuatkuasa semalam.

Pelantikan itu bagi menggantikan Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir, yang meletak jawatan atas faktor usia dan memerlukannya berehat.

Datuk Moehamad Izat Emir

Menurut DPIA, tugas memangku jawatan presiden disandang bermula semalam selepas Mesyuarat Khas DPIA sebulat suara dengan pelantikan Sohaimi, manakala Moehamad Izat pula dilantik sebagai Penasihat Utama DPIA.

Sohaimi berkata, beliau akan memangku jawatan Presiden sehingga pemilihan baharu yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun depan.

“Saya akan memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada Mac tahun depan untuk memilih presiden baharu.

“Seluruh Ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli DPIA mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Moehamad Izat Emir di atas kepemimpinan dan bimbingan beliau semasa menerajui DPIA,” katanya.

Sohaimi, 51, turut aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) dengan menyandang beberapa jawatan sebagai bekas Naib Presiden 1 Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA); Pemuda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia; Pengerusi dan Setiausaha Dewan Muda Selangor.

Selain itu, Sohaimi pernah memikul tanggungjawab dalam syarikat milik kerajaan (GLC) dengan memegang jawatan antaranya bekas Pengerusi Pelaburan Mara, Pengerusi Kraftangan Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah KUB Malaysia Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah D Berhad.

Sohaimi memberitahu, beliau akan menyusun dan memperkemaskan semula beberapa agenda yang bakal dilaksana badan itu.

“Atas tanggungjawab yang diberikan ini, saya akan merangka strategi untuk meningkatkan lagi nama DPIA sebagai NGO yang lebih dikenali di peringkat negara dan antarabangsa.

“DPIA juga akan memfokuskan dalam mengembangkan lagi penubuhan cawangan DPIA ke negara-negara Asean.

“DPIA mengalu-alukan lebih ramai usahawan atau peniaga untuk menyertai pertubuhan ini bagi merencana pelbagai bentuk kerjasama serta peluang dalam perniagaan” katanya. – Malaysiapost