Bagio Damasutra kemalangan, patah bahu kiri

0
2

PENYANYI dan pelakon Bagio Damasutra patah bahu kiri dan luka di kening serta bibir selepas terbabit dalam kemalangan ketika melakukan aktiviti berbasikal di Desa Pandan, Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam kejadian itu, Bagio, 49, atau nama sebenarnya Bahagia Daharun terrbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di satu simpang tiga.

Bagio yang popular dengan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi bersama kumpulan Damasutra berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari rumahnya di Pandan Jaya untuk melakukan aktiviti berbasikal bersama rakan-rakannya di Taman Setiawangsa.

“Saya sebenarnya mengalami titik buta (blind spot). Ketika nak keluar dari kawasan lorong perumahan dan tiba di simpang tiga Desa Pandan, saya tak perasan kehadiran kereta dan kami berlanggar. Sukar untuk kata sama ada kami sama-sama laju tapi impaknya saya tercampak dan tayar tercabut dari basikal,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Bagio yang dalam keadaan sedar dibantu pemandu kereta terbabit dan orang ramai.

“Ketika itu, topi keledar masih di kepala saya. Sebaik topi keledar dibuka, saya dapati ada luka dan pendarahan di kening kiri. Bibir juga pecah.

“Saya juga sempat menghubungi isteri memaklumkan perkara ini, manakala pemandu kereta tadi bawa saya ke klinik. Tak lama kemudian isteri saya tiba dan bawa saya ke Hospital Ampang,” katanya.

Bagio berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bahu kirinya patah.

“Doktor pakar kata tak perlu masuk besi kerana ia akan pulih sendiri. Mereka juga buat imbasan X-ray di kepala dan mendapati tidak mengalami hentakan atau darah beku.

“Ia mungkin kerana saya pakai topi keledar yang berkualiti dan tahan lasak. Saya selesai dirawat sekitar jam 10.30 malam.

“Namun disebabkan khayal kerana kesan ubat, saya terasa proses ini sekejap sahaja. Saya kena berehat sekitar tiga hingga enam bulan untuk benar-benar sembuh,” katanya.

Bagio berkata, ini kemalangan pertama membabitkan kecederaan serius dialaminya sepanjang enam tahun aktif dalam aktiviti berbasikal.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Selama ini pun memang saya berhati-hati tapi apakan daya benda nak jadi. Bagaimanapun isteri tak larang untuk saya terus aktif selepas ini,” katanya. – Malaysiapost

foto : kredit Hmetro