Berdamailah dan bantu rakyat – Wan Ahmad

0
3

Fitri Nizam

REKONSILIASI politik membabitkan semua parti politik adalah perkara paling utama diperlukan negara sekarang, kata bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata, ia sebenarnya antara perkara tersirat apabila Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli politik supaya memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Justeru, beliau berkata, saranan Umno untuk diwujudkan Agenda Perdamaian Nasional adalah tindakan murni dan relevan.

“Itu sebagai pendekatan formula rekonsiliasi politik bagi memerangi pandemik Covid-19 yang meningkat melanda negara.

“Sebelum ini, untuk meredakan ketegangan hubungan parti itu dengan Bersatu demi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dari tumbang.

“Umno juga telah berjiwa besar dan berkorban ego apabila memilih ‘Gencatan Politik’ daripada meneruskan perbalahan dengan Bersatu,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berpendapat, langkah murni Umno itu jelas mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan berpolitik kepimpinannya.

Katanya, parti Melayu terbesar itu melihat jauh, kepada kepentingan yang lebih besar iaitu demi bangsa, agama dan tanah air.

“Bayangkan, apa akan terjadi seandainya perbalahan dua parti orang Melayu itu berakhir dengan penarikan sokongan Umno kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan PN Melayu/Islam hilang kuasa. Gencatan Politik pihak Umno ialah langkah murni jalan perdamaian bagi menyelamatkan kerajaan PN,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan kegawatan ekonomi yang menyebabkan ratusan ribu rakyat hilang pekerjaan, apa yang negara dan rakyat mahu ialah kestabilan serta pertolongan dari kerajaan.

“Rakyat muak dengan kemelut politik dan perebutan kuasa tidak berkesudahan, mereka gelisah dan menderita akibat Covid-19.

“Kesianlah mereka di barisan hadapan yang bertungkus lumus bertugas untuk menyelamat nyawa rakyat, ketepikan politik seketika.

“Sekarang masanya untuk perdamaian, mengembelingkan tenaga bersama kerajaan sebagai satu ‘pasukan yang besar’ untuk mengalahkan Covid-19 habis-habisan sehingga berjaya,” katanya. – Malaysiapost