Guru kongsi ‘skill’ main gasing getah pemadam dengan murid sekolah pedalaman

0
3

SEBUAH video yang memaparkan aksi seorang guru berkongsi cara permainan ‘gasing getah pemadam’ kepada murid-muridnya tular di laman sosial baru-baru ini.

Menerusi klip video tersebut, guru itu menunjukkan cara memusing getah pemadam sehingga ia berpusing seperti gasing, kepada murid di kelasnya.

Murid-muridnya bersorak gembira dan menunjukkan isyarat ‘bagus’ kerana teruja melihat guru mereka bermain getah pemadam.

“Okay, hari ini cikgu nak tunjuk masa cikgu jadi kamu. Main pemadam ini bukan macam ni pusing dia.

“Cikgu lagi ‘power’ dari kamu. Dah lama cikgu main ini. Tak payah kamu nak tunjuk pada cikgu,” katanya sambil membuat tutorial cara bermain gasing ‘getah pemadam’ itu.

https://twitter.com/NazriMerikan/status/1319438321022451713?s=20

Guru tersebut, Mohd Nazri Merikan yang mengajar di sebuah sekolah di kawasan pedalaman kira-kira 140 kilometer dari Miri, Sarawak.

Menurutnya, rakaman itu diambil semasa sedang mengajar di kelas murid-murid Tahun Dua.

“Saya dapati ada beberapa murid saya asyik membelek, bermain pemadam seperti berlatih sesuatu semasa saya mengajar.

“Rupa-rupanya mereka lawan gasing pemadam. Pada awalnya saya tegur dan kata akan ambil semua pemadam jika terus bermain dalam kelas.

“Bila tengok mereka bermain gasing pemadam, dari rasa nak marah sebab tak tumpukan perhatian di dalam kelas rasa kelakar pula sebab cara mereka bermain salah,” katanya seperti dilaporkan Mstar semalam.

Entri berkenaan yang dimuat naik di laman Twitter guru itu mendapat lebih 300,000 tontonan dan 15,000 tanda suka.

Rata-rata pengikut di laman Twitter memuji cara guru itu mendekati murid-muridnya di dalam kelas dan ada juga yang mengimbau kembali nostalgia semasa zaman persekolahan.

“Cikgu yang ada jiwa besar. Lain cara mendekati murid. Teringat seorang cikgu matematik di Johor Bahru. Bagi salam nada Arab Jawa,” komen Aliffshanusi

“Sebab nil ah dulu aku bawa dua pensil box datang sekolah, satu pensil box penuh pemadam,” tulis Apithalil

“Kita semua pernah melalui zaman di mana nakal seorang murid,” kata Meynimarini. – Malaysiapost