Lelaki larikan MPV polis hadapi 6 pertuduhan

0
2

PADAH melarikan kereta peronda polis jenis Honda Civic 1.8S dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Utara Sabtu lalu, seorang lelaki didakwa atas enam tuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.

Tertuduh, Mohamad Azrullah Mohd Rodzi, 33, didakwa terbabit dalam cubaan merompak, menyamar sebagai anggota polis, curi kenderaan bermotor dan mencuri.

Bagaimanapun, penjual ikan bilis itu mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret M Kalaiarasi.

Dia hanya menggelengkan kepalanya untuk menunjukkan bahawa dia tidak bersalah ketika semua tuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azrullah didakwa cuba merompak Tang Chye Hong, 49, di sebuah kedai di Jalan Permatang Manggis di Tasek Gelugor, pada jam 10 malam Sabtu lalu.

Dia juga didakwa menyamar sebagai anggota polis dengan niat untuk menahan Chye Hong di tempat, waktu dan hari yang sama.

Bagi kedua-dua kes itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 393 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Selain itu, dia didakwa mencuri sebuah Honda Civic (VEN6940) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Seberang Prai Utara pada jam 9.15 malam Sabtu lalu.

Dia juga didakwa menyamar sebagai anggota polis dengan niat untuk mencuri kenderaan di tempat, waktu dan hari yang sama.

Berikutan itu, Mohamad Azrullah didakwa mengikut Seksyen 397A dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Mohd Azrullah turut didakwa mencuri telefon bimbit jenis Vivo dan iPhone 8 Plus milik Nurul Atieka Mazlan, 21, di sebuah kedai di Pokok Sena, Tasek Gelugor pada 10 malam hari yang sama.

Dia juga didakwa menyamar sebagai anggota polis dengan niat mencuri telefon bimbit terbabit di tempat, waktu dan hari yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humairah Kamaruzaman, manakala Azrullah diwakili Muhaimin Hashim dan Arafas Abdul Razak.

Muhaimin mohon jaminan lebih rendah dikenakan terhadap Mohamad Azrullah dengan mendakwa bahawa anak guamnya itu sudah berkahwin dan pendapatannya tidak tetap.

“Saya juga mohon kepada mahkamah ini agar anak guam saya ini dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak hari ini untuk menjalani penilaian mental selama sebulan,” katanya.

Kalaiarasi kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin untuk kes pertama, RM6,500 dengan seorang penjamin untuk kes kedua dan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kes ketiga.

Mahkamah juga setuju dengan permintaan peguam agar tertuduh menjalani penilaian mental, selain perlu menjauhkan diri dari Chye Hong.

Kalaiarasi kemudiannya menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes.

Pada Ahad lalu, dilaporkan polis menahan dua beradik dan seorang wanita kerana memandu dengan MPV Honda Civic 1.8S dari IPD Seberang Prai Utara.

Sebelum itu, dua lelaki mengaku sebagai polis daripada Unit Sumber Teknologi Maklumat masuk ke bahagian MPV di IPD Seberang Prai Utara dengan alasan untuk memeriksa ‘dashcam’ kereta peronda sebelum melarikan kenderaan berkenaan. – Malaysiapost