Cemar air Sungai Selangor: Reman 8 lelaki disambung

0
3

TEMPOH reman lapan lelaki termasuk pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan yang disyaki terbabit dalam kes pencemaran air di Sungai Selangor disambung enam hari bermula esok.

Perintah reman sehingga 3 November depan dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret di sini terhadap semua suspek berusia 28 hingga 66 tahun itu.

Memetik laporan Sinar Harian, permohonan dibuat selepas tempoh reman tujuh hari bermula Khamis lalu tamat hari ini.

Terdahulu, seorang bapa berusia 62 tahun serta anaknya yang berusia 31 tahun iaitu pengarah syarikat ditahan bersama enam pekerjanya masing-masing dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan serta Myanmar.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Ia susulan pencemaran sungai yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 12.38 pagi, 19 Oktober lalu.

Akibat tindakan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Pencemaran itu menyebabkan gangguan di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.- Malaysiapost