Curi MPV polis, wanita itu mangsa – polis

0
3

WANITA yang ditahan bersama lelaki yang mencuri kereta peronda polis (MPV) jenis Honda Civic ala permainan video ‘Grand Theft Auto’ di Shah Alam, Ahad lalu bukan pasangan kekasih.

Sebaliknya, dia adalah mangsa selepas diperdaya suspek yang menyamar sebagai polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata hasil siasatan mendapati wanita berusia 21 tahun itu dipaksa oleh suspek untuk ikut masuk ke dalam kereta.

Katanya, suspek berusia 33 tahun itu turut mengambil dua telefon bimbit mangsa serta sejumlah wang tunai sebelum membawanya menuju ke Kuala Lumpur.

“Sebelum ini tular kononnya perempuan itu kekasih kepada suspek namun sebenarnya dia juga mangsa dalam kes ini.

“Selepas soal siasat dilakukan, mangsa yang bekerja di kedai telefon di Tasek Gelugor membuat laporan polis kerana disamun oleh suspek,” katanya kepada media.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah kenderaan model Honda Civic 1.8S milik polis dilarikan individu yang menyamar sebagai anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat.

Kejadian berlaku di IPD Seberang Perai Utara SPU, Ahad lalu.

Bagaimanapun, MPV itu berjaya dikesan di Shah Alam, Selangor dan polis menahan suspek bersama seorang wanita yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Noorzainy berkata, suspek terbabit yang mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk dadah akan didakwa pagi ini mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Selain itu, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 393/ 170 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun. – Malaysiapost