SEJAK beberapa hari lalu isu cadangan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM10,000 secara ‘one-off’ dari akaun 1, menjadi perdebatan ramai.
Dalam suasana ekonomi yang semakin menekan ini, kebanyakan rakyat memohon supaya cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dapat dilaksanakan.
Walaupun nampak seperti, ‘cadangan populis’, namun banyak pihak menyifatkan ia langkah wajar bagi membantu rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19.
Najib menjelaskan, kebenaran pengeluaran itu bertujuan untuk membantu rakyat yang terjejas bagi kegunaan mendesak.
Selain turut mencadangkan agar permohonan tersebut boleh dipertimbangkan dengan syarat pemohon juga tandatangan surat aku janji untuk mencarum semula pengeluaran ‘one-off’ itu dalam tempoh dua tahun selepas ekonomi pulih.
Umum mengetahui bahawa, caruman KWSP dibahagikan kepada dua akaun iatu caruman yang dibuat setiap bulan daripada majikan akan dibahagikan kepada 70:30.
Sebanyak 70 peratus akan disalurkan ke Akaun 1 manakala baki 30 peratus itu akan dimasukkan ke dalam Akaun 2.
Mengikut kadar caruman semasa adalah 23 peratus daripada gaji pekerja, dimana 11 peratus adalah caruman pekerja yang dipotong daripada gaji bulanan pekerja manakala 12 peratus adalah caruman oleh majikannya. Bersamaan:-
Akaun 1 iaitu, 70 peratus daripada caruman bulanan daripada majikan.
Akaun 2 iaitu, 30 peratus daripada caruman bulanan daripada pencarum sendiri.
Simpanan di dalam Akaun 1 ini adalah untuk kegunaan selepas bersara dan pelaburan pencarum sahaja.
Jadi, simpanan di dalam Akaun 1 ini sama sekali tidak boleh diusik atau dalam erti kata lain tidak boleh dikeluarkan sepenuhnya sebelum mencecah usia 55 tahun.
Disarankan pencarum meletakkan penama, jika tidak nanti waris akan mempunyai masalah untuk membuat tuntunan. Penama boleh terdiri daripada suami/isteri/ayah/ibu/anak atau individu yang kita mahu wariskan harta berkenaan.
Pencarum juga dibenarkan untuk melabur sebahagian daripada simpanan ini di atas kerelaan diri sendiri.
Sementara, simpanan di dalam Akaun 2 pula adalah bertujuan untuk membantu kita membuat persediaan apabila hendak bersara.
Oleh itu, pengeluaran dibenarkan bagi tujuan seperti:
- Usia pencarum mencecah umur 50 tahun.
- Membuat pembayaran pendahuluan pembelian rumah pertama.
- Penyelesaian baki pinjaman perumahan bagi rumah pertama.
- Pembiayaan pendidikan diri dan juga anak-anak.
- Menampung kos-kos perubatan diri kita dan anak-anak kita.
- Menunaikan haji (berkuatkuasa 1 Januari 2013).
Namun, sekiranya cadangan pengeluaran sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 ini dipersetujui untuk dilaksanakan kerajaan, adalah lebih baik ia dilakukan secara bersasar.
Dengan itu, hanya mereka yang benar-benar layak atau terdesak sahaja dibenarkan berbuat demikian.
Ia bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mengeluarkan caruman ‘sesuka hati’, walaupun hakikatnya tidak mempunyai keperluan berbuat demikian.
Perlu diingatkan, caruman KWSP adalah simpanan hari tua khusus untuk menampung kehidupan selepas persaraan. Jadi jangan tersalah langkah! . -Malaysiapost

