Ucapan takziah buat pensyarah mangsa jerut

0
3

[Jenayah] Berita kematian pensyarah wanita yang maut dipercayai dijerut dengan kain tudung oleh bekas suaminya, mendapat simpati netizen dan pelbagai pihak.

Mangsa, Prof Madya Dr Maizatulniza Othman, 40, adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Turut mengucapkan takziah ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad menerusi Facebooknya.

“Salam takziah kepada seluruh keluarga arwah. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan Allah. Al-Fatihah,” tulisnya.

Menerusi hantaran Dr Noraini itu, netizen turut melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa mangsa.

Dalam kejadian pada 29 Julai lalu, wanita terbabit dijerut lehernya dengan tudung oleh suspek hingga mati, selepas dia dikatakan mahu memfailkan perceraian.

Suspek berusia 42 tahun kemudian pulang ke rumah di Putra Perdana, Putrajaya sebelum mengajak anak perempuannya berusia 14 tahun keluar mencari menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Polis kemudian mendapat panggilan daripada suspek yang memaklumkan wanita itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, dilaporkan berkata helah suspek terbongkar apabila laporan bedah siasat mendapati wanita itu mati akibat dijerut.

Siasatan mendapati pasangan terbabit mempunyai masalah kerana lelaki berkenaan ada melafazkan cerai pada 24 Jun lalu dan mereka sudah berkahwin sejak 15 tahun lalu.