Gajah di Gerik mengamuk pijak kereta

0
2

Lima individu cemas apabila kenderaan mereka dipijak gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, gajah berkenaan dikatakan mengamuk selepas sebuah kereta lain membunyikan hon.

Kesemua mangsa berjaya keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri.

Ketika kejadian berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa, mereka dipercayai menghala ke Perak dari Kelantan.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood ketika mengesahkan kejadian itu berkata kenderaan mangsa mengalami kerosakan kecil.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff pula berkata kakitangannya sudah dihantar ke lokasi bagi melakukan siasatan lanjut dan pemantauan.

Beliau juga menasihatkan pemandu supaya bersabar dan tidak memasang lampu tinggi ketika melalui kawasan berkenaan pada waktu malam, selain tidak membunyikan hon.