UMNO perlu memparhalusi secara mendalam tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana tawaran bersyarat akan mengundang implikasi kepada parti.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, berkata semalam ura-ura mengatakan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno namun dengan syarat.
Katanya, syarat yang diberikan itu adalah Muhyiddin tidak mahu menerima Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Tawaran bersyarat seperti ini akan mengundang beberapa implikasi kepada Umno dan BN.
“Antara implikasi yang perlu ditimbang Umno adalah perbalahan dalaman yang membawa kepada perpecahan apabila Presiden diketepikan secara paksa oleh pihak luar.
“Keduanya ialah pengukuhan kedudukan Muhyiddin dan PPBM (Bersatu) dalam kerajaan dengan sokongan Umno.
“Ketiga ialah implikasi kedudukan Umno dan BN dalam Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, adalah lebih baik jika tawaran daripada Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu kepada Umno ini datang dengan tidak bersyarat.
“Barulah ia nampak lebih ikhlas dan dengan ini memberi ruang kepada Umno di semua peringkat daripada akar umbi ke kepimpinan tertinggi untuk mempertimbangkannya dan membuat keputusan dengan lebih bebas untuk mencapai konsensus walau apa jua keputusannya,” katanya. -Malaysiapost

