KERAJAAN merestui cadangan FELDA untuk mengambil semula 350,000 hektar ladangnya yang dipajak kepada FGV Holdings Berhad (FGV) bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangannya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata cadangan itu sudah dibincang pada mesyuarat Kabinet dan pada dasarnya kerajaan bersetuju serta merestuinya.
“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang memperincikan cadangan pengambilalihan itu.
” Ia (keputusan muktamad) akan diumumkan menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian mengulas cadangan FELDA untuk mengambilalih termasuk mengambil semula 350,000 hektar ladang yang dipajak kepada FGV.
Ahad lalu, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh dilaporkan berkata, agensi itu bercadang mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya. -Malaysiapost

