LUAS kesan pencemaran air di Balakong

0
2

Fitri Nizam

LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran air di Kampung Baru Balakong dipercayai akibat pembuangan sisa minyak enjin terpakai oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pencemaran itu dikesan selepas LUAS menerima aduan pencemaran minyak hitam dalam alur air di Jalan KB1/9 di lokasi terbabit pada jam 6 petang, semalam.

Jurucakap LUAS berkata, aliran air di lokasi terbabit akan memasuki Sungai Balak dan seterusnya ke Sungai Langat, justeru pihaknya telah menjalankan pensampelan dan sedang mengambil tindakan kawalan.

“Dalam masa yang sama, LUAS telah meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ di lokasi bagi menghalang aliran minyak ke alur seterusnya ke Sungai Balak.

“Hasil siasatan LUAS ditapak mendapati lokasi pembuangan minyak tersebut merupakan kawasan bertakung dan disyaki pembuangan haram oleh pihak ketiga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya lagi, pemantauan oleh LUAS bersama agensi yang berkaitan akan dijalankan dari semasa ke semasa termasuk kesan di Sungai Balak dan Sungai Langat.

“Perbincangan pegawai LUAS bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Kajang dan agensi-agensi berkaitan di tapak,” katanya. -Malaysiapost

Gambar yang menunjukkan tumpahan sisa enjin.