
APA lagi rakyat mahu? Itu persoalan oleh Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bagi memahami keperluan rakyat.
Loke berkata, beliau menjadi wakil rakyat sejak tahun 2004, dan selama 16 tahun ini, beliau belajar untuk cuba memahami apa kehendak rakyat.
Katanya, sebagai orang politik, keupayaan untuk mendengar denyut nadi rakyat adalah satu keperluan untuk membuat keputusan yang tepat.
“Saya cuba menyenaraikan 10 perkara yang saya rasa dikehendaki oleh rakyat Malaysia pada ketika ini,” katanya menerusi Facebook.
10 perkara tersebut seperti berikut:
1) Tidak ada pilihanraya umum mengejut sehingga tempoh Parlimen tamat
2) Tidak ada perintah darurat dan sistem demokrasi berparlimen terus berfungsi
3) Negara terus aman dan stabil
4) Dasar dan program kerajaan untuk membantu golongan yang terkesan atau hilang punca pendapatan
5) Dasar dan program kerajaan yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan
6) Langkah-langkah kesihatan yang lebih efektif untuk membendung penularan wabak Covid-19
7) Kehidupan masyarakat dan aktiviti sosial secara normal dapat dikembalikan secepat mungkin.
8) Kurangkan perbalahan politik dalam media sosial
9) Anak-anak boleh bersekolah seperti biasa tanpa rasa ketakutan
10) Keluarga boleh pergi bercuti bersama dengan penuh kegembiraan.
Bekas Menteri Pengangkutan itu meminta rakyat untuk membantunya memahami keperluan mereka.
Katanya lagi, kalau semua pemimpin politik cuba memahami apa rakyat mahu, maka keputusan yang baik untuk negara dan rakyat akan dilaksanakan. – Malaysiapost
