Khabib tukar strategi, elak cedera lawan hadapan ibu bapa

0
1

KHABIB Nurmagomedov menukar strategi ketika bertemu Justin Gaethje untuk menggelakkan kecederaan kepada petarung dari Amerika Syarikat (AS) itu di depan kedua ibu bapanya, kata Daniel Cormier.

Memetik laporan Agensi, ibu bapa Gaethje hadir menyaksikan perlawanan UFC 254 itu yang berlangsung di Fight Island di Abu Dhabi.

Cormier yang juga rakan karib Khabib berkata, Jaguh Russia itu memberitahunya bahawa dia tidak akan melakukan perkara yang akan mencederakan Gaethje di depan Carolina dan John Ray Gaethje.

Difahamkan, Raja lightweight UFC itu mengekalkan rekod 100 peratus susulan kemenangan pada pertarungan UFC 254 kelmarin apabila dia menumbangkan Gaethje menerusi ‘triangle choke’ pada pusingan kedua.

Khabib dikatakan tidak sanggup melakukan gerakan kuncian tangan yang berisiko mampu mematahkan tangan lawannya itu.

Justeru itu, Khabib menukar strategi dengan menewaskan Gaethje menerusi gerakan ‘triangle choke’ pada pusingan kedua.

“Khabib beritahu saya, dia menyaksikan sesi temuramah Justin yang menyatakan tidak mahu melakukan gerakan tap (kuncian tangan).

“Jadi apabila dia hampir melakukan gerakan itu, Khabib teringat kata-kata Justin serta tidak mahu mencederakan lawannya itu di depan ibu bapanya.

“Sebab itulah Khabib melakukan gerakan ‘triangle choke’ yang seperti membuatkan lawannya itu ‘tertidur’.

“Saya berani katakan, inilah yang diceritakan Khabib kepada saya,” kata Cormier. – Malaysiapost